Melukis Merangsang Anak Lebih Pintar & Kreatif

Advertisement

Melukis Merangsang Anak Lebih Pintar & Kreatif


Kanak-kanak memang sinonim gemar menconteng atau melukis. Kadang kala entah apa bentuk objek yang cuba dilukis, kita sendiri tidak tahu apabila melihatnya. Jika anak anda salah seorang daripada si kecil yang gemar memegang pensel dan kertas biarkan sahaja. Ianya menjadi aktiviti indoor untuk kanak-kanak.

Menurut Prof.Dr. Bustam Kamri, Pakar Kanak-kanak, lukisan adalah proses penerokaan untuk meneliti kehidupan seharian. Pengalaman melukis memberi keyakinan kepada sifat ingin tahu kanak-kanak dan juga meningkatkan aktiviti seni kreatif kanak-kanak.

Melukis memberi kesan positif lebih baik berbanding mewarna kerana aktiviti mewarna tidak memberi peluang kanak-kanak berkreatif dan mencipta sesuatu yang baru.

Sebenarnya gemar melukis umpama bermain sambil belajar. Secara semula jadi kanak-kanak suka melukis berbanding dengan menulis. Kanak-kanak melukis pada dinding, kertas, lantai, permukaan air dan di mana sahaja. Disebabkan itu lah melukis ni adalah salah satu aktiviti kreatif untuk pra sekolah.



Mereka melukis apa sahaja yang bermain di minda apabila memegang pen atau pensel. Menerusi aktiviti melukis, kanak-kanak berupaya memahami dunia mengikut perspektifnya.

Sama seperti bermain, berikan kebebasan kanak-kanak untuk melukis mengikut caranya tersendiri.

5 cara simple untuk galakkan mereka , ibu bapa boleh menggalakkan anak bereksperimen dengan produk lukisan menerusi cara berikut:

1. Elakkan buku jenis garisan mewarna atau buku kerja.

2. Sabar dengan hasil kerja lukisan anak dan terus menggalakkan.

3. Jangan terlalu banyak membantu anak melukis. Biarkan dia bebas melakar apa yang diinginkan.

4. Anda menerima hasil kreatif si manja tanpa membuat penilaian hasil kerjanya.

5. Beri komen positif dan pujian bahawa si manja menghasilkan produk yang unik.



Ibu bapa perlu memahami peringkat perkembangan lukisan kanak-kanak. Menerusi kefahaman ini ibu bapa berupaya untuk membenarkan kanak-kanak untuk meluahkan perasaan secara spontan.

Berikut adalah peringkat perkembangan lukisan kanak-kanak mengikut umur:

Umur 2 tahun hingga 3 tahun

Peringkat lakaran iaitu semua kanak-kanak akan melakukan perkara yang sama iaitu melakar.

Umur 2 tahun hingga 4 tahun

Peringkat lakaran membentuk seperti bulatan, bujur, empat segi, tiga segi dan lakaran bersilang.

Umur 3 tahun hingga 5 tahun

Kanak-kanak mula membuat corak daripada bentuk yang pernah dilukisnya.

Umur 4 tahun hingga 5 tahun

Peringkat kanak-kanak membuat reka bentuk dalam bentuk manusia.

Umur 5 tahun hingga 6 tahun

Kanak-kanak di peringkat sudah boleh melukis gambar.

Apabila ibu bapa memahami pelbagai peringkat yang perlu dilalui oleh kanak-kanak, mudah untuk si manja melalui langkah pertama bagi proses perkembangan belajar melukis.

Berikan kanak-kanak helaian kertas kosong tanpa sebarang garisan dan biarkan kanak-kanak melakar dengan pensel atau krayon secara bebas tanpa diganggu.


Post a Comment

0 Comments