Tips Keluarga Bahagia Dalam Islam | Sebut tentang keluarga bahagia ianya impian semua orang terutama yang dah berkahwin. Dan dalam berumahtangga pula, ianya menjadi satu medan untuk kita belajar saling menghormati , saling menghargai dan saling melengkapi sesama sendiri kerana suami, isteri dan anak-anak adalah anugerah dan amanah dari Allah SWT.Bagaimanakah cara membina keluarga bahagia dalam islam.
Disini zati nak kongsikan Tips 8(P) Keluarga Bahagia.Apa tu 8P ?Jom baca dibawah ni :
#1 - Puji
P yang pertama ialah 'puji' iaitu setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.Salah satu kunci rumah tangga yang mesti dipraktikkan ye!
#2 - Peluk
P kedua ialah 'peluk' yang mana pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin pada setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang.
#3 - Penghargaan
P ketiga ialah 'penghargaan' di mana amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang.
#4 - Perhatian
P keempat ialah 'perhatian' yang mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan.
#5 - Persefahaman
P kelima mewakili 'persefahaman' kerana sebagai manusia yang bekerjaya memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing.
#6 - Pergaulan
P keenam membawa maksud 'pergaulan'iaitu pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.
#7 - Percutian
P ketujuh adalah 'percutian' di mana seseorang itu perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin atau gangguan lain.
#8 - Permohonan
P yang terakhir ialah 'permohonan' iaitu doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia.
Ustazah Siti Nur Bahyah juga menurunkan beberapa amalan doa selepas solat yang boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri iaitu membaca surah Al-Imran ayat ke-31 atau membacakan ayat ke-200 surah sama.
Beliau berkata, kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar ialah mendekatkan diri dengan Allah.Katanya, apabila seseorang insan mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, dia akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa yang kosong.
"Ketika kita jauh daripada Allah, iblis yang suka umat manusia bercerai berai akan menghampiri dan melalaikan kita daripada tanggungjawab terhadap keluarga," katanya.
Dah jelas tentang tips 8P? Sekarang kita baca pula tentang cara membina keluarga sakinah atau bahagia. Untuk membina sebuah keluarga yang bahagia ni, peranan setiap ahli keluarga adalah sangat-sangat penting.
#1 - Menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak
Ibu bapa sendri perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak kerana mereka merupakan golongan yang paling kerap berada dengan anak-anak. Tutur kata yang sopan dan lemah lembut dengan pasangan dan juga anak-anak perlu diterapkan dalam diri.
Elakkan sikap negatif seperti pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri di depan anak-anak. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka. Perlakuan anak-anak sememangnya mencerminkan didikan kita sebagai ibu bapa.
#2 - Mengawasi Aktiviti Anak-Anak
Anak-anak yang sedang membesar semestinya banyak terpengaruh dengan rakan sebaya kerana darah muda membuatkan mereka memberontak untuk melakukan perkara yang baru. Ibu bapa haruslah memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak kerana sebuah keluarga yang bahagia akan sentiasa menjaga maruah ahli keluarganya.
#3 - Mencurahkan Kasih Sayang Dan Meluangkan Masa Bersama Anak-Anak
Sudah semestinya pada zaman pemodenan ini,tugas ibu bapa mencari rezeki sememangnya mencabar. Kadangkala tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak diabaikan kerana sibuk mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.
Anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Sudah pasti anak-anak akan gembira sekiranya anda sebagai ibu bapa menunjukkan kasih sayang dan meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak.
Contohnya anda boleh menemani anak anda melakukan aktiviti yang disukai seperti bermain,berjalan-jalan atau juga membawa mereka bercuti mahupun berkelah. Pastinya tindakan ini akan merapatkan lagi hubungan anda bersama anak-anak. Tidak mustahil keluarga bahagia dapat dibina sekiranya ibu bapa betul-betul mementingkan masa bersama anak-anak.
#4 - Memberikan Didikan Agama Dan Moral Yang Mencukupi
Pelbagai kes sosial yang berlaku pada remaja zaman sekarang pastinya merisaukan anda sebagai ibu bapa apatah lagi jika anak anda sedang meningkat dewasa. Oleh itu,berikan didikan agama dan moral yang mencukupi kerana ia dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan anak-anak sekaligus menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga bahagia. Bagi ibu bapa pula,kesabaran yang tinggi diperlukan untuk mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai.
#5 - Saling Menghormati Antara Satu Sama Lain
Wujudkan suasana dan sikap saling menghormati antara satu sama lain di kalangan anak-anak dan ahli keluarga anda. Jangan biarkan mereka meninggikan suara dan juga memanggil antara satu sama lain dengan panggilan untuk kawan. Selain itu,sikap saling membantu juga perlu diterapkan. Contohnya jika anak sulung anda pandai dalam subjek Matematik,dia haruslah membantu adik-adiknya yang lemah dalam pelajaran tersebut.
#6 - Kerapkan Berkomunikasi Antara Satu Sama Lain
Komunikasi merupakan salah satu cara membentuk keluarga bahagia. Ini adalah kerana komunikasi yang salah akan menimbulkan pelbagai impak yang tidak baik kepada keluarga seperti bergaduh dan bercerai.
Sekiranya anda dan pasangan menghadapi konflik,luahkan segala masalah yang dihadapi dan berbincang secara terbuka agar konflik dapat ditangani dengan cara yang paling baik. Berikan ruang kepada pasangan untuk meluahkan pandangan dan jadilah pendengar yang baik kepada pasangan anda.
Kesimpulannya, Setiap ahli dalam keluarga perlulah memainkan peranan untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Sikap tolak ansur,hormat-menghormati, dan saling memahami perlu dipupuk kerana keluarga bahagia merupakan asas pembentukan masyarakat yang penyayang dan maju.
Disini saya selitkan doa yang boleh kita amalkan bersama keluarga. Moga bermanfaat.
0 Comments
Terima kasih sudi baca artikel ini. Sila berikan komen anda. Jemput follow blog ini ye!